Jumaat, 8 April 2011

Adakah Anda Pengidap Disleksia?

Apakah Disleksia
Disleksia terdiri daripada dua perkataan Yunani iaitu “DYN” bermakna susah, dan “LEXIA” bermakna tulisan. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu dyslexia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.
Mereka yang mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang dengan disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan orang lain dengan disleksia.
Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.
Ciri-Ciri Pengidapnya
  1. Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
  2. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
  3. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
  4. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya ‘b’ dianggap ‘p’ dan ‘p’ dianggap ‘q’.
  5. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
  6. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
  7. Sering berlaku di kalangan lelaki.
  8. Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
  9. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.
Punca Disleksia
Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.
Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates