Isnin, 2 Januari 2012

Perisian bantu pesakit disleksia


         KANAK-KANAK disleksia biasanya sukar membezakan huruf yang mempunyai bentuk yang hampir sama misalnya b dan d, c dan e, u dan n serta m dan w.Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus iaitu masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual melalui bunyi. Selain itu, penghidap disleksia mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira. Kekurangan itu menyebabkan prestasi kanak-kanak disleksia menurun tanpa perhatian yang sewajarnya. Justeru bagi mengatasi masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak disleksia, tiga penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan perisian baharu berbentuk cakera padat.

          Perisian yang dinamakan Phonics Tutor Software amat sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang menghidapi disleksia visual.Ketua penyelidiknya yang juga pensyarah dan penyelidik di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam berkata, penemuan teknologi berkenaan diharap membantu kanak-kanak disleksia visual menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Beliau berkata perisian itu menggunakan enam kaedah mengeja berteraskan Orton-Gillingham Phonogram serta membantu mereka mencungkil kebolehan dalam aspek berbeza. “Produk yang dianggarkan berharga RM250 di pasaran kelak menekankan aspek bacaan bahasa Melayu berteraskan Teori Levinson yang sesuai untuk murid disleksia berumur empat hingga sembilan tahun. “Ini sesuai dengan suasana pembelajaran di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar berbanding produk disleksia lain yang menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

           Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar Putra Cipta UPM anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) di Serdang baru-baru ini. Beliau berkata, produk direka khusus untuk murid-murid pemulihan yang mengalami masalah pembelajaran spesifik disleksia dalam proses pembelajaran bahasa Melayu. Sebelum ini hampir semua produk pembelajaran bagi disleksia adalah dalam Bahasa Inggeris selain harganya yang agak mahal. “Kaedah ini boleh dimanfaatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Khas, Pusat Perkembangan Kurikulum, guru dan ibu bapa untuk menangani masalah bacaan bahasa Melayu pada golongan terbabit,” katanya.

              Hasil kajian yang dijalankan selama tiga tahun itu dibiayai oleh Geran Penyelidikan UPM dan telah difail paten.
Beliau dibantu oleh dua penyelidik lain iaitu pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Noor Aina Dani dan pelajar tahun akhir Jabatan Bahasa Melayu, UPM Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad.Kelebihan produk  Direka untuk kepentingan murid-murid pemulihan yang mengalami masalah pembelajaran spesifik disleksia dalam proses pembelajaran Bahasa Melayu Sumber pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid disleksia jika dibandingkan dengan bahan bacaan Bahasa Melayu berbentuk buku dengan jenis pilihan yang terbatas Pengajaran guru pendidikan khas akan bertambah mudah bagi menangani masalah pembelajaran serta keperluan pendidikan bagi kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia Hasil program ini dapat dimanfaatkan oleh Kementerian Pelajaran, guru-guru dan ibu bapa bagi mengatasi masalah bacaan Bahasa Melayu justeru menggelakkan murid-murid daripada menghadapi masalah disleksia dengan lebih serius.

RUJUKAN: ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 15/08/2011

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates